BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Ahad, 12 Julai 2009

SUMBANGAN PENDIDIKAN SENI VISUAL DALAM MEMACU PERKEMBANGAN EKONOMI DAN TEKNOLOGI SESEBUAH NEGARA

ARIZA BINTI DAENG
M20081000017
FAKULTI PENDIDIKAN SENI DAN MUZIK
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

(GURU SENIREKA MRSM BENTONG)




Pendidikan Seni Visual merupakan satu subjek penting dalam sistem pendidikan negara. Matlamatnya adalah untuk melahirkan individu yang berbudaya dengan mengamalkan pertimbangan kesenian, berjiwa kreatif, inovatif, inventif dan berjiwa estetik. Justeru itu kurikulum pendidikan seni Visual telah dirangka sebaik-baiknya bagi memenuhi matlamat bagi melahirkan golongan pekerja mahir dan separa mahir dalam semua sektor dengan mempunyai kemahiran seni visual yang dapat membantu pembangunan sektor-sektor pembuatan, pendidikan dan perkhidmatan di negara Malaysia.

Dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini, pertumbuhan ekonomi sesebuah negara bergantung kepada sektor industri pembuatan dan perkhidmatan yang akan memberi signifikasi nilai dalam prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK ) sesebuah negara. Kekuatan ekonomi bagi sesebuah negara juga berkait rapat juga dengan aspek seni visual dalam memacu perkembangan beberapa sektor ekonomi seperti pembuatan dan perkhidmatan kerana elemen seni visual sering kali menjadi elemen penting dalam menggerak pertumbuhan sektor-sektor tersebut. Kebanyakan industri pembuatan seperti automotif, peralatan elektronik, textile, komponen binaan, fesyen, perabot, perisin ICT dan sebagainya, aspek seni visual menjadi faktor penentu utama dalam memacu daya maju sesuatu produk laris di pasaran dan menjadi faktor penentu terhadap jumlah permintaan terhadap sesuatu produk.

Begitu juga dengan perkembangan sektor perkhidmatan seperti tekomunikasi, pengiklanan, perhotelan dan perlancongan, media cetak dan perubatan. Sumbangan seni visual adalah resepi utama dalam menarik minat pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan. Melalui Pengiklanan yang kreatif dan juga pemilihan motif-motif seni yang menarik, ia menjadi tarikan utama bagi menawan pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan yang bakal ditawarkan.

Sepertimana contoh di nagara Iran baru-baru ini penjualan kereta nasional nagara Proton Gen 2, mencatatkan jualan yang paling tinggi berbanding dengan model-model lain kereta proton di negara tersebut. Kereta proton Gen 2 amat popular di kalangan golongan muda-mudi Iran oleh kerana faktor visual rekabentuk luaran dan dalaman kereta Gen 2 yang amat menarik kerana ciri-ciri rekabentuknya yang bersifat “sporty”, elegan dan futurelistic ” disamping harganya yang amat berpatutan dalam kelasnya berbanding model kereta lain.

Faktor rekabentuk sesuatu produk merupakan elemen utama yang dapat mempengaruhi visual setiap orang. Justeru itu rekabentuk sesuatu produk mestilah dihasilkan oleh tenaga-tenaga mahir yang digelar “ product designer ‘ yang mempunyai daya imaginasi dan inspirasi yang tinggi, dimana mereka boleh mencipta sesuatu rekabentuk yang kreatif dan berinovasi. Rekaan yang kreatif dan inovatif hanya boleh dihasilkan oleh pereka-pereka yang mempunyai daya fikir imaginatif yang tinggi, dan seterusnya diilustrasikan pula melalui lakaran atau model dan seterusnya penghasilan produk akhir. Proses ini merupakan satu proses tranformasi yang manakjubkan di mana, dunia imaginasi seseorang disintesis melalui proses pencernaan idea kreatif dan inovatif yang konstruktif bagi menghasilkan objek/produk akhir ( “ from the world of imagination to the world of object”) yang seterusnya menyumbang kepada pembangunan tamadun manusia.

Kaedah yang paling berkesan bagi seseorang pereka untuk menggambarkan sesuatu rekebentuk yang berada dalam dunia imaginasinya adalah melalui lukisan / lakaran dan juga model “ The most recognizable method of exploring a design is to visualize it through sketching and modeling “. Membuat lakaran, lukisan dan model adalah satu aktiviti yang dilaksanakan dalam pengajaran dam pembelajaran subjek seni visual di sekolah-sekolah, jelas sekali disini kemahiran melukis dan melakar itu amat penting, ianya mneyumbang kepada kemajuan perekaan yang amat diperlukan oleh sesebuah negara untuk membangun dan bersaing di era globalisasi

“Visualize" atau menggambar begitu sinonim dengan subjek pendidikan seni Visual, dimana melalui subjek ini, imaginasi pelajar dapat dirangsangkan “ art stimulate imagination “. Imaginasi merupakan element yang sangat penting untuk merekacipta atu menghasilkan sesuatu rekaan. Albert Einstein ada mengatakan :
“ imagination is more important than knowledge. Knowledge is limited. Imagination encircles the world”.

Teori pembelajaran yang diaplikasikan di dalam sistem pendidikan negara juga menekankan kepada teori kecerdasan pelbagai visualistik, di mana pelajar melukis sesuatu objek dan juga ilustrasi mental menggunakan media atau bahan baru. Di sini jelas menunjukkan subjek seni visual banyak mempraktikan kecerdasan ini, sekaligus menyumbang kepada lahirnya individu yang berfikiran kreatif dan inovatif. Sumbangan hasil kerja kreatif dan inovatif individu-individu ini bakal memberikan sumbangan yang amat ketara dalam pertumbuhan sektor pembuatan dan perkhidmatan sesebuah negara.


Di Negara kita Malaysia, Perkembangan sektor Rekabentuk Industri yang mana pendidikan seni visual menjadi tulang belakang utama memacu pertumbuhan sektor tersebut masih kurang memberangsangkan berbanding pertumbuhan sektor yang sama di negara-negara Eropah, Amerika Syarikat, China, Korea Selatan dan Jepun. Kebanyakan rekabentuk industri memainkan peranan hanya dalam sektor ekonomi tempatan seperti tekstil iaitu batik dan fabrik moden kotemporari, sektor kraf dan barangan cenderahati, pengiklanan, seni bina, pembuatan seperti produk pengguna, perabot dan juga industri automotif negara. Walau bagaimanapun, jumlah pertumbuhan dan juga sambutan masyarakat dalam mengemilangkan sektor rekabentuk visual amat mengecewakan. Pertumbuhan yang perlahan ini boleh diukur dengan jumlah isipadu industri (iaitu jumlah rekabentuk yang terhasil setahun) dan juga jumlah perolehan serta bajet yang dikeluarkan oleh kerajaan dan juga sektor swasta bagi menyokong kesinambungan perkembangan mapan sektor rekabentuk industri.

Kalau kita melihat perkembangan rekabentuk industri di negara Korea Selatan, sambutan masyarakat dan juga pemain industri utama dalam sektor ini amat bermakna sekali. Kerana pentingnya sektor rekabentuk industri terhadap pertumbuhan industri pembuatan yang berasaskan barangan pengguna, automotif, senibina dan industri perkhidmatan seperti telekomunikasi, pelancongan, media, Kerajaan Korea Selatan menggerakkan Pertumbuhan Sektor Rekabentuk Industri bagi memacu ekonomi negara tersebut dengan mengadakan suatu acara peringkat nasional dan antarabangsa iaitu Seoul Design Festival (SDF) bermula tahun 2002 bagi menarik minat masyarakat terhadap rekabentuk industri dan juga mengukuhkan kedudukan pendidikan seni visual sebagai satu wadah nasional bagi memastikan pertumbuhan mapan ekonomi Korea Selatan.


SDF atau Lebih dikenali sebagai Seoul Design Festival ini dimulakan pada tahun 2002 dan kekal menjadi acara tahunan setiap tahun. Seoul Design Festival ini diadakan juga di kota-kota eropah dan asia seperti London, Berlin, Milan dan juga Tokyo kerana ia adalah Platfom penting bagi menghimpunkan perekabentuk di seluruh dunia dan juga hasil kerja mereka untuk dipersembahkan kepada pengunjung bagi membuktikan betapa berkesannya dan pentingnya seni visual dalam memacu pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Seoul yang merupakan kota bagi gergasi industri seperti Samsung, LG, Hyundai dan Daewoo memainkan peranan penting dalam Evolusi Pantas perkembangan produk barangan pengguna, benar-benar memanfaatkan kepentingan seni visual dalam penghasilan produk-produk baru yang mempunyai kepelbagaian rekabentuk barangan yang semestinya menjadi daya penarik pengguna untuk membeli barangan buatannya. Bukti kukuh evolusi seni yang dicetuskan oleh perekabentuk dapat dilihat kepada daya-saing produk yang cemerlang menguasai industri alatan elektronik seperti telefon celular dan juga gadget ICT yang amat mendapat respon luar biasa pelanggan.

Jika kita melihat betapa faktor seni visual dapat memainkan peranan penting dalam perkembangan sektor industri pembuatan seperti telefon celular dan gadget ICT, hampir setiap bulan pelbagai model dan rekabentuk baru telefon celular dan gadget ICT dikeluarkan bagi menarik minat pengguna membelinya. Dengan adanya daya saing yang amat agresif dalam rekabentuk barangan industri ini, maka semestinya, kita perlu sedar akan kepentingan dan sumbangan bermakna seni visual dalam memberikan nilai tambah dalam anjakan positif pertumbuhan ekonomi ini dan juga dapat membangunkan sesebuah bandar sebagai hub rekabentuk dunia. Pada tahun 2007, Majlis Antarabangsa Persatuan Rekabentuk Industri telah memilih Seoul sebagai Bandaraya Rekabentuk Dunia 2010 bagi mempromosi penggunaan rekabentuk yang terbaik bagi memperkasakan pembangunan bandar-bandar besar di seluruh dunia dari segi pembangunan sosial, ekonomi dan kebudayaan. Datuk Bandar Seoul, Mayor Se-Hoon Oh, menegaskan dalam ucapan perasmian Seoul Design Festival bahawa “ Rekabentuk mempunyai kuasa bagi mengubah dunia, ia merupakan pemacu yang mana akan mencipta momentum bagi pembangunan ekonomi Seoul, dan sekarang, Seoul akan diiktiraf diseluruh pelusuk dunia kerana `rekabentuknya’ .

Sekiranya kita mengamati sejarah perkembangan teknologi Korea Selatan ini, ianya dilihat sebagai Gergasi Kedua Asia yang menguasai teknologi baru dalam bidang kejuruteraan, seni bina dan juga pembuatan. Oleh yang demikian, jelaslah di sini betapa pentingnya pendidikan seni visual dalam Sistem Pendidikan sesebuah negara yang mana ia akan mendidik bakal-bakal professional dan teknokrat yang kreatif dan inovatif untuk berkhidmat di dalam sektor ekonomi bagi memastikan pertumbuhan yang mapan.

Lakaran Konsep adalah fasa yang amat penting dalam bidang kejuruteraan, senibina dan perubatan. Terdapat beberapa fasa dalam rekabentuk iaitu,
i. Mengenal Pasti Keperluan
ii. Pentakrifan Masalah
iii. Sintesis
iv. Analisis dan pengoptimaan
v. Penilaian
vi. Pembentangan


Dalam fasa mengenal pasti keperluan dan pentakrifan masalah, Lakaran Konsep memainkan peranan penting untuk berhubung antara perekabentuk, jurutera, arkitek dan juga professional lain seperti doktor ( untuk alatan bantuan perubatan) bagi mendapatkan kepastian berhubung barangan yang direkabentuk dan mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah. Pada kebiasaannya bagi evolusi sesuatu barangan pengguna, alatan perubatan dan binaan bangunan, sesuatu konsep diterjemahkan melalui lakaran bagi menghasilkan kepastian terhadap sesuatu masalah. Dalam Kejuruteraan, teknik “Reversed Engineering” digunakan bagi mentakrifkan sesuatu masalah dan mungkin juga bagi menghasilkan teknologi baru untuk barangan tersebut.

Toyota Motor Corporation Limited seringkali menggunakan teknik Reversed Engineering bagi menghasilkan model baru kenderaan terutamanya apabila bersaing dengan pembuat lain seperti General Motor dan Ford (Amerika Syarikat), Roll Royce, BMW, Mercedes ( Eropah) dan Hyundai, Ssangyong (Korea Selatan). Sejarah telah terbukti, apabila Toyota Motor Corporation menghasilkan Model Kereta Lexus yang telah berjaya menarik minat pengguna di Eropah dan Amerika Syarikat terhadap kereta Jepun. Kejayaan Signifikan ini menyebabkan Toyota Motor Corporation Ltd menjadi gergasi utama dalam ranking pembuat kereta dunia yang mendahului pembuat lain dalam pasaran. Sehingga kini, Toyota menduduki tempat 3 teratas dalam ranking dunia dari segi penguasaan pasaran berdasarkan Jumlah Keseluruhan Isipadu Industri ( Total Industrial Volume-TIV).

Semasa menghasilkan Model Lexus, hampir 6000 jurutera menjalankan kajian secara Bedah Siasat ( Reversed Engineering Forensic) kereta Mercedes dan BMW bagi melihat dan mengenalpasti keperluan dan teknologi yang terdapat dalam kereta jenama pembuat Eropah dan Amerika Syarikat. Di sini, amat terbukti bahawa lakaran konsep digunakan bagi menghasilkan chasis dan struktur badan kereta, enjin dan sistem transmisi, rekabentuk dalaman, sistem brek, ekzos dan juga sistem penyerap hentakan dan gantung. Hasilnya, pada hari ini Model Lexus menjadi model yang paling hebat dalam sejarah permotoran dalam kelasnya yang tersendiri dan mampu bersaing dengan Model Kereta lain seperti General Motor, BMW dan Mercedes.

Sejarah telah membuktikan bahawa sumbangan seni visual dalam kehidupan manusia dan pembinaan tamadun manusia amat signifikan seiring dengan perkembangan sektor ekonomi sesuatu negara. Keruntuhan tamadun Rom pada sekitar kurun ke- 5 masihi yang mana menjadikan Penduduk Eropah mengharungi Zaman Gelap kerana kesan kurangnya pertumbuhan ekonomi di zaman tersebut. Pada kurun ke 15, berlaku perubahan signifikan ekonomi kerana perdagangan dan perusahaan lebih maju dengan wujudnya regim baru perdagangan menggunakan mata wang bagi menggantikan “sistem barter”. Dengan menggunakan mata wang sebagai instrumen kewangan dan urusan perdagangan, sektor perusahaan berasaskan sumber asli seperti perlombongan emas dan besi, benang, sutera dan pertanian secara bidang besar telah menyebabkan Renaissance berlaku dalam sejarah Eropah.

Renaissance telah dikesan berlaku di Italy pada kurun ke 15 dan 16 yang mana banyak melahirkan kumpulan pemikir, penulis, pelukis dan ahli muzik yang menyumbang kepada ekonomi global pada ketika itu. Kesan perkembangan utama yang berlaku adalah berkembangnya percapaian hebat dalam bidang seni visual yang dihasilkan dalam karya seni ukiran, seni arca, lukisan dan seni bina. Hasil seni yang terhasil pada zaman ini banyak menghasilkan tokoh ternama seperti Leonardo da Vinci, Michelangelo yang amat terkenal sebagai seorang ,artis, pemikir, arkitek dan pengukir yang menjadi kebanggaan masyarakat Eropah sehingga kini.

Kebanyakan hasil kerja seni yang dihasilkan oleh Leonardo da Vinci memberikan sumbangan besar dalam bidang seni, kejuruteraan, sosio-budaya dan juga perubatan. Salah satu Lakaran Leonardo da Vinci yang amat signifikan kepada teknologi perubatan adalah Lakaran Anatomi yang memperincikan struktur tubuh badan manusia. Semasa membuat Lakaran struktur badan tersebut, sebanyak 30 mayat manusia telah dibedah dan beliau membuat lakaran dan catatan yang begitu teliti bagi melakar tubuh manusia agar ianya menjadi komponen panduan penting dalam sektor perubatan.

Kepentingan seni visual amat penting sebagai alat fasilitatif bagi menjayakan R & D di peringkat universiti dan pengkomersialan hasil R & D tersebut. Prof. Datuk Ir. Zaini Ujang, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia telah menyatakan bahawa akan kepentingan inovasi serta kaitannya dengan R &D + C ( Research & Development and Comercialisation ) bagi sesebuah universiti sebagai pemacu utama perkembangan teknologi ummah. Peranan Inovasi dan R & D + C akan menjadi resipi utama ke arah pembangunan ekonomi berteraskan pengetahuan dan secara tidak langsung memperkasakan ekonomi ummah. Negara-negara maju telah membuktikan bahawa kekuatan teknologi, daya inovasi dan kreativiti yang dibangunkan sendiri dapat digunakan dan dikembangkan dengan lebih mudah berbanding dengan pergantungan kepada pihak asing menerusi pembayaran royalti atau yuran professional dan harta intelek yang lain.

Dalam Konteks sumbangan seni visual, semua kerja-kerja penyelidikan dan inovasi akan melibatkan pengilustrasian lakaran-lakaran konsep bagi membina jaringan dan komunikasi minda secara konstruktif dalam bidang R & D + C. Dalam konteks pembangunan Inovasi di Malaysia, kelemahan utama pembangunan secara holistik R & D +C adalah Dasar Pendidikan dan Latihan yang mana kita menghadapi kekurangan sumber manusia yang mempunyai kemahiran asas yang kompeten dalam seni visual yang menyebabkan banyak hasil R &D yang ditaja oleh kerajaan Malaysia melalui Geran R & D kurang menyumbang kepada pengkomersialan hasil R & D tersebut. Jika dilihat kepada 1041 hasil Inovasi UTM sehingga Disember 2008, hanya 3 hasil penyelidikan dalam bidang Industrial Design dihasilkan. Di-sini jelas menunjukkan bahawa kegagalan utama UTM menggerakkan kerja-kerja R & D dalam teknologi kejuruteraan dan seni bina adalah kerana kurangnya kemahiran seni visual dikalangan penuntut yang memasuki universiti tersebut bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan dan seni bina.

Selaras dengan Dasar Kerajaan terhadap budaya inovasi dan kemajuan sains dan teknologi dapat dilihat dalam RMK-9. Secara spesifik RMK9 akan memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi ( STI) sebagai pemacu utama dalam mempertingkatkan keupayaan negara untuk memperoleh dan menggunakan pengetahuan serta menggalakkan inovasi… pendekatan holistik akan diterima pakai bagi memperkukuhkan Sistem Inovasi Kebangsaan (NIS) untuk mempertingkatkan produktiviti dan daya saing. Oleh yang demikian, struktur pembelajaran Seni Visual perlu diperkukukah dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan agar kita dapat melahirkan modal insan yang mempunyai asas seni visual yang berkesan dalam memacu sains, teknologi, inovasi dan kreativiti agar pergantungan negara terhadap saintis dan teknologi luar negara dapat diminimakan.

Kepentingan Seni Visual dalam membangunkan Industri Kereta Nasional amat mencabar pada hari ini kerana kita kekurangan golongan professional dalam bidang automotif dan industrial automotif designer. Dato Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, dalam pembentangan kertas kerja di Kongres Ekonomi Islam ke-3 pada 12 – 15 Januari 2008, menjelaskan bahawa Proton memulakan operasi pemasangan Component Knocked-Down pada tahun 1983 dan Model pertama Proton Saga dikeluarkan pada tahun 1985. Proton maju setapak pada tahun 1996, apabila Proton membuat pengambialihan Lotus Group kerana kekangan utama Proton dalam inovasi rekabentuk produk, R&D, enjin dan Tooling Manufacturing. Pada masa 13 tahun lampau, kita kekurangan tenaga kerja yang benar-benar mahir dalam aspek rekabentuk komponen dan rekabentuk Industri. Kebanyakan graduan lepasan UiTM dalam bidang "Industrial Design" banyak mendapat kerja di Proton untuk terlibat secara agresif dalam R & D Proton. Hasilnya pada hari ini, Proton menghasilkan sendiri modelnya seperti WAJA, Gen 2, Persona, SAGA (Base Line Model) dan yang terbaru MPV (Multi Purpose Vehicle) Proton Exora yang dilancarkan ke pasaran negara pada april 2009 dan mendapat sambutan besar-besaran oleh rakyat Malaysia

Kesimpulan

Sumbangan Pendidikan Seni Visual amat penting dalam perkembangan ekonomi dan teknologi. Walau bagaimanapun, Sains, Teknologi, Inovasi, Kreativiti dan Pengkomersialan tidak akan terhasil dengan optima sekiranya aspek kemahiran seni visual tidak diberikan penekanan yang khusus dan sewajarnya. Oleh itu, Kerajaan Malaysia, perlu memperkasakan kurikulum pendidikan seni visual dalam sistem pendidikan rendah, menengah dan universiti bagi menghasilkan modal insan yang mempunyai kemahiran asas yang signifikan dan kompeten agar, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial dapat dilaksanakan secara holistik.

















0 comments: